AROMA serbuk kopi yang diimport khas dari Brazil menerpa ke dalam
rongga hidung kru Jurnal tatkala kami melangkah ke sebuah kilang
pemprosesan kopi di Damansara Damai, Selangor.
Cuaca dingin pada petang Khamis lalu seakan-akan tepat pada masanya
apabila kru Jurnal dihidangkan dengan secawan kopi kesihatan jenama
Superbest Power.
Baunya sahaja sudah cukup membangkitkan rasa. Peluang merasai
sendiri keenakan rasa kopi yang baru sahaja diadun di kilang tersebut
tidak dilepaskan.
Segala-galanya dirasakan mencukupi baik dari segi rasa, warna dan
teksturnya kerana kopi itu tidak perlu lagi ditambah susu atau gula.
Cetusan Idea
Menurut Pengarah Urusan Superbest Power Health Food & Beverages
Sdn. Bhd. (Superbest Power), Kamal Mohd. Nor, idea untuk menjadikan
kopi sebagai produk utama syarikatnya diperoleh pada tahun 2007 ketika
beliau berkhidmat di sebuah syarikat jualan langsung yang menawarkan
barangan runcit.
"Sebelum ini, saya berkhidmat sebagai guru selama 11 tahun di
sekitar Pahang. Bermula tahun 1998, saya berjinak-jinak dalam bidang
perniagaan dengan menjadi pembekal makanan sejuk beku di beberapa
bandar di Pahang.
"Melihatkan perniagaan yang semakin meningkat, saya berhenti kerja
sebagai guru bagi menumpukan sepenuh perhatian kepada perniagaan.
"Tetapi disangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah
hari. Perniagaan itu tidak menjadi selepas lima tahun beroperasi
berikutan kemunculan beberapa pasar raya di sekitar Bandar Pusat
Jengka, Pahang yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan," ujarnya
yang berasal dari Temerloh, Pahang.
Jelas Kamal, beliau dulunya bukanlah seorang penggemar kopi kerana
beliau akan mengalami sakit perut serta pening kepala sekiranya minum
minuman kafein tersebut.
"Ketika berkhidmat di syarikat jualan langsung, salah satu produk
yang perlu dijual ialah kopi tetapi minuman itu gagal menepati cita
rasa masyarakat.
Kopi Brazil
"Saya juga tidak boleh meminum kopi tersebut disebabkan rasanya
yang pahit sehinggalah pemilik syarikat tersebut menawarkan peluang
kepada saya untuk mendapatkan sebuah syarikat pengeluar kopi lain.
"Dari situ, saya mula melakukan kajian pasaran dan ternyata minuman kopi mempunyai penggemar yang ramai.
"Saya berazam untuk mengeluarkan kopi yang benar-benar menepati cita
rasa setiap individu bagi syarikat jualan langsung terbabit dan
menempah sebanyak 2,000 kotak kopi melalui sebuah syarikat pengeluar
kopi.
"Tetapi pemilik syarikat jualan langsung itu mampu menampung kos
bagi 1,000 kotak sahaja menyebabkan saya terpaksa menukar pembungkusan
kopi itu menggunakan jenama sendiri," tambahnya yang sudah enam tahun
berkecimpung dalam industri pembuatan kopi.
Menurut Kamal, kopi Arabika dari Brazil dipilih sebagai bahan utama
di dalam produknya memandangkan kandungan asidnya yang rendah selain
ditanam pada ketinggian 1,500 meter dari aras laut.
"Saya pernah terputus bekalan kopi dari Brazil selama sebulan
disebabkan pembekal tiada stok tetapi saya tetap tidak mengambil kopi
dari negara lain kerana mahu menjaga kualiti produk yang dihasilkan.
Kualiti diUtamakan
"Kualiti sangat diutamakan malah saya juga akan memastikan keenakan dan rasa kopi Superbest Power tidak berubah.
"Malah, setiap bancuhan kopi Superbest Power yang menjalani proses
selama satu jam akan dicuba terlebih dulu bagi mengekalkan rasa kopi
ini sebelum melalui proses seterusnya," jelasnya yang dibantu seramai
30 orang kakitangan.
Menurut Kamal, tidak seperti kebanyakan jenama kopi pracampuran lain
di pasaran, kopi pracampuran Superbest Power menjalani proses
penyelidikan dan pembangunan (R&D) menggunakan kepakaran Taman
Teknologi Malaysia (TPM), Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Larut air
"Kami menjalankan kajian secara saintifik bagi menghasilkan kopi yang
boleh dinikmati sebagai minuman harian dan sesuai untuk semua
peringkat umur.
"Produk minuman kopi ini turut diformulasi dengan kombinasi
campuran pelbagai herba tradisional termasuk ekstrak tongkat ali, ubi
jaga dan cendawan ganoderma yang diimport dari China," katanya.
Kamal memberitahu, kandungan herba tersebut akan diekstrak terlebih
dulu secara kimia dan ditulenkan kerana proses berkenaan merupakan
cara yang betul untuk memastikan khasiatnya dapat dikekalkan.
"Sebagai contoh, secara tradisional, tongkat ali perlu direbus
terlebih dulu dan air rebusannya disimpan manakala hampasnya dibuang.
"Air rebusan tadi akan dibekukan sebelum diproses menjadi serbuk larut air.
"Selain dapat memberi rasa yang lebih berperisa, kaedah ini juga
mampu mengekalkan kandungan bioaktif dalam herba tersebut," ujarnya.
Bagaimanapun, Kamal mendakwa, ada sesetengah syarikat pengeluar kopi
mengekstrak tongkat ali dengan cara salah iaitu mengisar herba itu
sehingga menjadi serbuk untuk dijadikan minuman bertenaga.
"Jika dikisar sehingga halus sekalipun, ia ibarat memasukkan habuk
kayu ke dalam minuman. Hal ini boleh membahayakan kesihatan pengguna
untuk jangka masa panjang," jelasnya panjang lebar.
Bertutur lanjut, Kamal memberitahu, herba larut air tersebut
seterusnya akan diadun bersama serbuk kopi dan krimer bukan tenusu bagi
menghasilkan minuman kopi bermutu tinggi.
"Krimer itu berasaskan minyak sawit. Minyak isirung sawit digunakan
bagi menggantikan lemak susu agar pengguna yang alah kepada produk
tenusu turut dapat menikmati keenakan kopi ini," katanya.
Ramuan Sebati
Jelas Kamal, kopi keluaran syarikatnya itu diperkayakan dengan
kandungan yang tidak memudaratkan kesihatan jika diminum dalam kuantiti
yang banyak.
"Kebiasaannya, penggemar kopi agak takut untuk meminum kopi segera disebabkan kandungan gula yang tinggi.
"Namun, mereka tidak perlu bimbang jika meminum produk Superbest Power kerana ia tidak mengandungi gula.
"Seelok-eloknya ia diambil sebanyak tiga kali sehari iaitu waktu
pagi, petang dan malam," katanya sambil memberitahu, kopi itu sesuai
diambil oleh golongan lelaki dan wanita termasuk ibu mengandung.
Kamal memberitahu, berdasarkan pengalaman beberapa pengguna wanita,
menikmati secawan kopi Superbest Power pada waktu pagi akan memberi
tenaga berpanjangan dan melancarkan peredaran darah haid.
"Secara tradisi, air rebusantongkat ali dijadikan tonik bagi wanita
selepas bersalin. Ia juga baik untuk melegakan sakit senggugut semasa
datang bulan.
"Malah, ia amat mudah untuk disediakan sama ada menggunakan air
panas atau sejuk," jelasnya sambil menambah peluang masih terbuka
kepada mereka yang mahu menjadi pengedar kopi tersebut.
Katanya, pihaknya memperuntukkan jumlah pengeluaran kira-kira 60,000
kotak sebulan bagi memenuhi permintaan pengedaran di seluruh negara.
"Dalam sehari sahaja, kami berjaya memproses kira-kira 15,000 hingga
20,000 peket kopi pracampuran ini dengan menjalani proses adunan
selama 10 kali dalam sehari menggunakan sebuah mesin pengadun yang
diimport dari China.
"Sebanyak 300 kilogram bahan boleh diadun dalam sehari membabitkan
proses selama sejam bagi memastikan campuran kopi dan bahan-bahan lain
menjadi sebati," ujarnya yang mendapat bekalan kopi dari Brazil
sebulan sekali dengan kualiti kopi yang boleh bertahan selama dua
tahun.
Selain kopi Superbest Power, pihaknya turut mengeluarkan lima jenis
produk lain iaitu Susu Kambing Goat Power, Queen Fatimah Plus Collagen,
kopi pracampuran Cintaku dan yang terbaharu Jus Qisya.
Tambahnya, pihaknya merancang untuk mengeksport produk tersebut ke
China dan Asia Barat serta menembusi pasaran Asia sebagai perancangan
masa depan.